Khamis, November 26, 2009

Harum Zafaron

Menitip kaki hamba berjalan,
Berjalan seorang menjemput angin,
Terhenti bila suara kedengaran,
Jasad tiada menggoyahkan yakin.

Hela nafas berkali-kali,
Hendak membuka pintu dahulu,
Masih waras ku cari-cari,
Tidak juga waktu bertamu.

Menjenguk lagi bidari merah,
Datang berteman bentara tiri,
Lengguk menari terapong tanah,
Pantang badan roma berdiri.

Mengapa sebentar datang ziarah,
Belum puas menanya khabar,
Andai tikar nak dibentang merah,
Jangan rimas kalau ditukar.

Merajuk lagi empunya suara,
Apa dimahu akal-ku congak,
Masuk berdiri tanpa bentara,
Nak ajak beradu teragak-agak.

Lantai tempat haiwan melata,
Tiada ligat mencengkam diri,
Andai sihat nampak di mata,
Minta afiat di dalam hati.

Reza Mohamed
26112009
8.14am

Tajuk Berpujuk

Bagai cermin mengajuk muka,
Tiru yang baik biar berpada,
Andai amin menampuk duka,
Solat sembahyang jangan dilupa.

Melempar guli merata paku,
Saka berlumba pujuk disayang,
Mencemar duli takhta Tuanku,
Derhaka hamba terang-terangan.

Cuit bahu menumpang lalu,
Laluan pintu jangan dihalang,
Bait lagu gendang ditalu,
Sembah ratu tangan bergelang.

Tertusuk duri bengkakkan tumit,
Melintang tulang di rawan tekak,
Merasuk diri sangkakkan rumit,
Datang hulubalang berlawan cekak.

Reza Mohamed,
29 April 2009
6.48pm

Kokok Si Awang

Kalam dah sedia untuk merangkap,
Salam dan ampun kuncikan panggung,
Alam bahagia ingin ku dakap,
Malam berhimpun tampan berlanggung.

Mencatur cerita pastikan sempurna,
Agar tersorok niat merampas,
Atur-atur berita bermuka,
Jangan terjelepok setelah dibidas.

Sudah ku agak jalanan kisah,
Dah baling batu terangan mengapur kata,
Padah lagak jantanan rukyah,
Hah! Terpelanting temberang berhambur auta.

Tetak beringin cabutkan rawa,
Tangan tercabut rawat petawali,
Kalau tak teringin menyimpan nyawa,
Jangan menghasut makhrifat laduni.

Andai diri mengaku jaguh,
Usah dipampang sebutan kikir,
Pandai sendiri aku bergaduh,
Resah ku gampang hasilan sir.

Reza Mohamed
512009
5.03pm

Rabu, Januari 14, 2009

Gemersik Angin

Terdengar bisik selepas senja,
Senja yang mana bertanda soal,
Bukan merisik simpati sengaja,
Hanya menanya punca yang awal.

Badai samudera ambil bernyawa,
Ain si mata memandang curi,
Andai ada musykil di jiwa,
Rajin anggota paksakan cari.

Buka langkah simpul berbunga,
Bunga putih dibawa mandi,
Apa di dengar jangan percaya,
Takut nanti terhasil badi.

Bagai minyak hamba ditatang,
Harapkan balas tergadai budi,
Andai lemak ku tuba sepadang,
Maafkan alas ampun di hati.

Reza Mohamed
1412009
6.18am

Selasa, Januari 06, 2009

HANG ber-TUAH ka?

Masih bernafas pedasnya kuah,
Tetap berdegil lantas dihirup,
Fasih lafaz usia si Tuah,
Ranap dibedil bertubi cukup.

Bukan merajuk dibawa Tuah,
Bukan kecut membunuh Jebat,
Setakat tajuk diubah-ubah,
Diam diperut menunggu khidmat.

Dalam istana perigi dirubah,
Sungai jua tempat bersiram,
Andai makna bergigi fitnah,
Ambil petua ragam berdiam.

Mana datang haruman kasturi,
Diselang hadir bau kemenyan,
Menjadi dalang yang tabur duri,
Tuah 'kan lakir kuntumkan senyuman.

Reza Mohamed
06012009
1.24am

Isnin, September 29, 2008

Rijalul-Ghaib

Duduk termanggu Siluman Kera,
Sila Temenggung petah berzanji,
Harap tak ganggu ruangan udara,
Datang bertanggung menuntut janji.

Gelisah Puteri dibalik tirai,
Menunggu jawap kasih Panglima,
Diasah gari minta bercerai,
Bertungku asap kalau bersama.

Pinjam cawan janji dicagar,
Undang tak luruh tak dapat diacah,
Hukum Tuhan jangan dilanggar,
Bukti kukuh mukjizat senaskah.

Keris karat buat hantaran,
Limau jeruk berkacau kapur,
Hormat syarat tinggal berkawan,
Jangan terketuk harimau yang tidur.

Tanam buah berniat wakaf,
Rezeki buat berjasad dan tidak,
Kalau salah bertindak maaf,
Buang hasad, domba dan riak.

Dilibas rotan tersangkut tajwid,
Merangkak tarannum cukupkan harakat,
Kelaku rentan bahu dicuit,
Jangan disangkak digigit disakat.

Rijalul-ghaib datang menegur,
Diluar penjan ada bisikan,
Hidup ini telah diatur,
Berwaspada fitnah si syaitan!

Reza Mohamed
29092008

Khamis, Julai 31, 2008

8

Pulang serdadu tersisip senjata,
Warisi tegap ilmu pertapa,
Nak ku merindu berpaling siapa?,
Nak ku tangisi, buat apa?!

Pelik melopong si sasa juragan,
Layar menduga beralih sasar,
Kalau bohong dan tipu jadi gurauan,
Dicampak ke ruga tak tersentuh dasar.

Guruh memekik petir membela,
Angin menderu meratah bumi,
Jangan ditempik si jaguh tua,
Nanti terkedu disumpah budi.

Asal-ku api resi-ku melur,
Datang mengintai dara dan bujang,
Berahmak budi terlucutlah luhur,
Baik dirantai dalam telanjang.

Jernih sungai hiasi hutan,
Ikan belacak ingin ditangkap,
Bersedia pakai akal fikiran,
Jangan terbenak selepas mengungkap.

Reza Mohamed
30072008
10.50am