Khamis, November 26, 2009

Harum Zafaron

Menitip kaki hamba berjalan,
Berjalan seorang menjemput angin,
Terhenti bila suara kedengaran,
Jasad tiada menggoyahkan yakin.

Hela nafas berkali-kali,
Hendak membuka pintu dahulu,
Masih waras ku cari-cari,
Tidak juga waktu bertamu.

Menjenguk lagi bidari merah,
Datang berteman bentara tiri,
Lengguk menari terapong tanah,
Pantang badan roma berdiri.

Mengapa sebentar datang ziarah,
Belum puas menanya khabar,
Andai tikar nak dibentang merah,
Jangan rimas kalau ditukar.

Merajuk lagi empunya suara,
Apa dimahu akal-ku congak,
Masuk berdiri tanpa bentara,
Nak ajak beradu teragak-agak.

Lantai tempat haiwan melata,
Tiada ligat mencengkam diri,
Andai sihat nampak di mata,
Minta afiat di dalam hati.

Reza Mohamed
26112009
8.14am

Tajuk Berpujuk

Bagai cermin mengajuk muka,
Tiru yang baik biar berpada,
Andai amin menampuk duka,
Solat sembahyang jangan dilupa.

Melempar guli merata paku,
Saka berlumba pujuk disayang,
Mencemar duli takhta Tuanku,
Derhaka hamba terang-terangan.

Cuit bahu menumpang lalu,
Laluan pintu jangan dihalang,
Bait lagu gendang ditalu,
Sembah ratu tangan bergelang.

Tertusuk duri bengkakkan tumit,
Melintang tulang di rawan tekak,
Merasuk diri sangkakkan rumit,
Datang hulubalang berlawan cekak.

Reza Mohamed,
29 April 2009
6.48pm

Kokok Si Awang

Kalam dah sedia untuk merangkap,
Salam dan ampun kuncikan panggung,
Alam bahagia ingin ku dakap,
Malam berhimpun tampan berlanggung.

Mencatur cerita pastikan sempurna,
Agar tersorok niat merampas,
Atur-atur berita bermuka,
Jangan terjelepok setelah dibidas.

Sudah ku agak jalanan kisah,
Dah baling batu terangan mengapur kata,
Padah lagak jantanan rukyah,
Hah! Terpelanting temberang berhambur auta.

Tetak beringin cabutkan rawa,
Tangan tercabut rawat petawali,
Kalau tak teringin menyimpan nyawa,
Jangan menghasut makhrifat laduni.

Andai diri mengaku jaguh,
Usah dipampang sebutan kikir,
Pandai sendiri aku bergaduh,
Resah ku gampang hasilan sir.

Reza Mohamed
512009
5.03pm